Khamis, 2 Februari 2017

PERIHAL IBNU TAIMIYYAH

11:01 PG Posted by DINYUS 1 comment
SOALAN

Pohon penjelasan berkenaan Ibnu Taimiyyah adakah kitabnya tidak boleh dijadikan rujukan?


JAWAPAN 


الحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلَى نَبِيَّنا مُحَمَّدٍ؛ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِين.
وَ بَعْدُ:


Ibnu Taimiyyah insan yang tidak maksum, mempunyai karya yang banyak , menulis dalam pelbagai bidang termasuk berkaitan qiraat. Beliau mempunyai ijtihad yang tersendiri.  Jika dia betul dia mendapat dua pahala, jika tersalah, dia mendapat satu pahala.

Bermazhab Hambali tetapi dalam masa yang sama mempunyai pandangan yang berbeza dengan mazhab Hambali.

Berlaku pergeseran sengit antara beliau dengan beberapa orang ulamak sezamannya yang mengakibatkan beliau dipenjara.

Di antara yang bertembung sengit dengannya ialah Syeikh Subki iaitu salah seorang ulamak mazhab Syafei.

PERTEMBUNGAN DALAM KALANGAN ULAMAK

Pertembungan  pandangan dalam kalangan ulama adalah perkara biasa. Mujtahid tidak harus menurut ijtihad mujtahid yang lain.

Imam Syafei berguru dengan Imam Malik, dan Imam Ahmad berguru dengan Imam Syafei. Begitu juga  Imam Syafei berguru salah seorang murid Imam Abu Hanifah iaitu Muhammad Hasan al Syaibani.

Mereka berbeza pendapat dalam banyak perkara tetapi saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Sila rujuk Fiqh Sunnah berkenaan perdebatan antara Imam Syafei dan Imam Ahmad berkenaan hukum mereka yang meninggalkan sembahyang.

Rujuk perdebatan melalui tulisan antara guru Imam Nawawi iaitu Ibnu Soleh dengan Sultan al Ulamak iaitu Syeikh Izzidun. Kedua-duanya adalah bermazhab Syafei.

Sila kaji perselisihan pandangan al Isnawi dengan Imam Nawawi dan Imam Rafi’i. Mereka bermazhab Syafei tetapi Imam Isnawi mengeluarkan pendapat yang keras terhadap mereka berdua.


Lihat perbezaan pendapat antara Imam Suyuti dan al Sakhawi.

Berlaku pergeseran demi pergeseran. Kadang-kadang tidak terkawal.

Begitulah juga nasib Ibnu Taimiyyah .
Sikap orang Islam kepada Ibn Taimiyyah bolehlah dibahagi kepada tiga pandangan:

1-Golongan yang ta’assub.

2-Golongan  yang menolaknya dan mengganggapnya sesat.

3-Golongan yang menerima dan menolak pendapatnya berdasarkan kekuatan hujjah.


Mereka yang mengganggap Ibnu Taimiyyah sesat menyatakan  buku karangannya tidak boleh dijadikan rujukan. 

Berikut contoh mereka yang menolaknya.
Ibnu Jamaah salah seorang ulamak mazhab Syafei .


وَمِنْ ثَمَّ قَالَ الْعِزُّ بْنُ جَمَاعَةَ: إنَّهُ ضَالٌّ مُضِلٌّ

Ibnu Taimiyyah sesat lagi menyesatkan .

Antara mereka yang menerima ialah seperti berikut ;


Al Suyuti dalam al Asybah wa al Nazoir ada menyebut nama Ibn Taimiyyah. Beliau merujuk kepada Ibnu Taimiyyah.

قال ابن تيمية لا يجوز قتل الجني بغير حق كما لا يجوز قتل الإنسي بغير حق و الظلم محرم في كل حال 

Dalam syarah al Bukhori iaitu  Umdah al Qori karangan al Aini, pengarang kitab tersebut yang bermazhab hanafi menyebut

وعن العلامة ابن تيمية
Al Allamah Ibnu Taimiyyah


Syeikh Anwar al Kashmiri  ,dalam kitab syarah Tirmizi  ada menyebut nama Ibn Taimiyyah:


تفسير سورة الإخلاص للحافظ ابن تيمية رحمه الله


وفي فتاوى الحافظ ابن تيمية رحمه الله تعالى في المجلد الثاني

Beliau seorang pakar hadis dan seorang sufi, menamakan Ibnu Taimiyyah sebagai al Hafiz iaitu pakar hadis.

Syeikh Najib al Muti’i dalam syarah Majmuk iaitu sambungan kepada Majmuk Imam Nawawi ada menyatakan:



وقد عنى شيخ الاسلام ابن تيمية في فتاواه الكبرى بهذا النوع من الخديعة فأبطل العقد وحمل على مجيزيه بالرأى والقياس


Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah.



Nasihat saya untuk diri sendiri, adalah menjadi satu kesalahan saya menghukum seseorang  sebelum saya mendapat maklumat dari sumber yang muktabar.

Sepanjang pemerhatian saya, kertas ilmiah peringkat antarabangsa sentiasa merujuk kitab Ibnu Taimiyyah. Rujuk untuk diambil atau untuk ditolak. Itu perkara biasa dalam dunia ilmuwan.


Kepada yang mengutuk Ibnu Taimiyyah, bagus renung semula, tanyakan pada diri sendiri pernahkah  karya beliau dibaca olehnya ?

Di benua India, benua yang ilmu hadisnya hidup mekar. Dipelajari sunnan sittah,p Muwatto Imam Malik , Syamail, Misykah  dan lainnya. Para ulamak berpecah dua puak , satunya puak ahli hadis dan tidak  terikat dengan mazhab Hanafi. Lahirlah kitab Aun Ma’bud, Tuhfatul Ahwazi dan lainnya.


Golongan ini bertembung dengan puak ulamak hadis yang mengikat diri mereka dengan mazhab Hanafi.

Lahir kitab Bazlu al Majhud, Faidul Bari , Ma’rif al Sunan dan lainnya.

Semua mereka ulamak hadis dan kuat beramal.

Dua-dua golongan menghormati Ibnu Taimiyyah.

Bukalah kitab mereka.Cari nama Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dalam kitab karangan mereka.

Saya pernah bertanya kepada mereka yang lama berkelana di bumi India mempelajari ilmu hadis  di sana.

Saya tanya, apa pandangan ulamak hadis di India terhadap Ibnu Taimiyyah? 
Dijawabnya dia amat dihormati.


Nasihat saya kepada mereka yang ingin membuat penilaian kepada Ibnu Taimiyyah;

1-baca kitab karangannya.

2-baca kitab karangan Abu Zahrah yang berjudul Ibnu Taimiyyah.


Setelah itu buatlah keputusan sendiri.


Ibnu Taimiyyah tidak maksum.

Ijtihadnya boleh diambil dan ditolak.

Menghukum beliau sebelum maklumat jelas adalah satu jenayah!


Menurut Abu Zahrah, Ibnu Taimiyyah  berusaha berijtihad sendiri  dan kebanyakan ijtihad tidak terkeluar dari mazhab empat.

وصَلَّى اللهُ على مُحَمَّدٍ وعلى آلهِ وصَحْبهِ الأَكْرَمِينَ والحمدُ لله رَبِّ العَالِمينَ


INTAHA ⏹  

وَاللَّهُ أَعْلَم

PUSAT TALAQQI BATU RAKIT

Khamis, 10 November 2016

PERINGATAN MESRA NABI IBRAHIM KEPADA KITA

9:55 PG Posted by Unknown No comments

PERINGATAN MESRA NABI IBRAHIM KEPADA KITA

al Tirmizi meriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud katanya,
Nabi SAW bersabda ;

"لَقِيتُ إبْرَاهِيمَ صلى الله عليه وسلم لَيْلَةَ أُسْرِيَ بي، فقالَ: يَا مُحَمَّدُ! أَقْرىء أُمَّتَكَ السَّلامَ، وأخْبِرْهُمْ أَنَّ الجَنَّةَ طَيِّبَةُ التُّرْبَةِ عَذْبَةُ المَاءِ، وأنها قِيعانٌ، وأنَّ غِرَاسَها: سُبْحَانَ اللَّه، والحَمْدُ لِلَّهِ، ولا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، واللَّهُ أَكْبَرُ"

Aku bertemu dengan Nabi Ibrahim pada malam israk.

Beliau berkata; wahai Muhammad!

Sampaikan salam ku kepada umatmu dan beritahulah  mereka bahawa syurga itu elok  tanahnya, lazat airnya dan rata tanahnya.

Manakala tumbuh-tumbuhannya pula ialah;

سُبْحَانَ اللَّه، والحَمْدُ لِلَّهِ، ولا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، واللَّهُ أَكْبَرُ.

ULASAN

Hadis di atas menunjukkan nabi Ibrahim amat menyayangi kita semua.

Baginda berpesan kepada  nabi SAW agar memberitahu umat baginda tentang syurga dan amalan yang boleh membawa ke syurga.

Baginda juga berpesan agar dikirimkan salamnya kepada ummat nabi SAW.

Peringatan  dan kiriman salam tersebut menunjukkan baginda amat menyayangi kita semua.

Oleh itu tidak manis jika tidak dibaca selawat Ibrahimiyyah selepas tasyahhud akhir ketika mengerjakan solat.
Lafaz selawat Ibrahimiyyah ialah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Mudah-mudahan zikir tersebut sentiasa disebut oleh kita semua. Tiada zikir yang paling afdhal melainkan zikir yang diajar oleh nabi SAW.

Hadis ini juga memberi faham bahawa antara
cara menggemarkan manusia beribadah ialah  menceritakan tentang kelebihan amalan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

سُبْحَانَ اللَّه، والحَمْدُ لِلَّهِ، ولا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، واللَّهُ أَكْبَرُ.

سُبْحَانَ اللَّه، والحَمْدُ لِلَّهِ، ولا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، واللَّهُ أَكْبَرُ.

سُبْحَانَ اللَّه، والحَمْدُ لِلَّهِ، ولا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، واللَّهُ أَكْبَرُ.

Wallahua'lam.

ARAHAN MERAIKAN KEMAMPUAN MAKMUM

12:55 PG Posted by Unknown No comments

ARAHAN MERAIKAN KEMAMPUAN MAKMUM

Abu Dawud meriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah beliau berkata:

كَانَ مُعَاذٌ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّنَا قَالَ مَرَّةً ثُمَّ يَرْجِعُ فَيُصَلِّي بِقَوْمِهِ فَأَخَّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً الصَّلَاةَ وَقَالَ مَرَّةً الْعِشَاءَ فَصَلَّى مُعَاذٌ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ جَاءَ يَؤُمُّ قَوْمَهُ فَقَرَأَ الْبَقَرَةَ فَاعْتَزَلَ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ فَصَلَّى فَقِيلَ نَافَقْتَ يَا فُلَانُ فَقَالَ مَا نَافَقْتُ فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ مُعَاذًا يُصَلِّي مَعَكَ ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّمَا نَحْنُ أَصْحَابُ نَوَاضِحَ وَنَعْمَلُ بِأَيْدِينَا وَإِنَّهُ جَاءَ يَؤُمُّنَا فَقَرَأَ بِسُورَةِ الْبَقَرَةِ فَقَالَ يَا مُعَاذُ أَفَتَّانٌ أَنْتَ أَفَتَّانٌ أَنْتَ اقْرَأْ بِكَذَا اقْرَأْ بِكَذَا قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ بِسَبِّحْ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى

Muaz mengerjakan solat bersama nabi SAW kemudian beliau pulang dan menjadi imam kepada kami.

Pada suatu ketika nabi SAW lewat mengerjakan solat isyak. Setelah Muaz selesai solat bersama nabi SAW , beliau pun pulang menjadi imam kepada kaumnya. Beliau membaca surah al Baqarah . Lalu seorang makmum lelaki  meminggirkan diri dari solat berjamaah tersebut dan solat bersendirian. Orangramai berkata kepadanya kamu telah menjadi munafiq! Lelaki itu menjawab tidak. Bukanlah aku seorang munafiq. Lelaki tersebut telah menemui nabi SAW dan berkata sesungguhnya Muaz solat bersama engkau kemudian dia pulang dan menjadi imam kepada kami . Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami adalah petani dan penternak dan bekerja sendiri. Muaz datang menjadi imam dan membaca surah al Baqarah.
Nabi SAW bersabda kepada Muaz wahai Muaz adakah engkau mahu menyusahkan orang lain?
Adakah engkau mahu menyusahkan orang lain? Adakah engkau mahu menyusahkan orang lain?
Bacalah surah ini bacalah surah ini.

ULASAN

Hadis menjelaskan berkenaan arahan agar imam sentiasa peka dan meraikan keadaan makmum. Di antaranya ialah tidak membaca bacaan yang  membebankan makmum.

Jabir yang menceritakan hadis di atas dan Muaz adalah dari kabilah Ummu Salimah. Perkampungan mereka agak jauh dari masjid Nabi SAW  iaitu lebih kurang  4.5 km. Mereka amat mengambil berat tentang solat berjamaah. Hal ini dapat dilihat dari hadis riwayat Muslim daripada Jabir bin Abdillah:


خَلَتِ الْبِقَاعُ حَوْلَ الْمَسْجِدِ، فَأَرَادَ بَنُو سَلِمَةَ أَنْ يَنْتَقِلُوا إِلَى قُرْبِ الْمَسْجِدِ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لَهُمْ: «إِنَّهُ بَلَغَنِي أَنَّكُمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَنْتَقِلُوا قُرْبَ الْمَسْجِدِ»، قَالُوا: نَعَمْ، يَا رَسُولَ اللهِ قَدْ أَرَدْنَا ذَلِكَ، فَقَالَ: «يَا بَنِي سَلِِمَةَ دِيَارَكُمْ تُكْتَبْ آثَارُكُمْ، دِيَارَكُمْ تُكْتَبْ آثَارُكُمْ»

Terdapat tanah kosong di sekitar masjid nabi SAW, maka Bani Salimah bercadang hendak berpindah berdekatan masjid Nabi SAW. Berita tersebut diketahui oleh nabi SAW ,lalu baginda bersabda kepada mereka sesungguhnya telah sampai ke pengetahuanku bahawa kamu bercadang berpindah berdekatan masjidku. Mereka menjawab ya. Wahai rasulullah. Sesungguhnya memang kami bercadang berbuat demikian. Baginda bersabda wahai Bani Salimah, kekallah di tempat kediaman kamu ( jangan berpindah ) nescaya ditulis bagi kamu kesan perjalanan kamu ke masjid ( banyak pahala kerana perjalanan jauh ) kekallah di tempat kediaman kamu ( jangan berpindah ) nescaya ditulis bagi kamu kesan perjalanan kamu ke masjid ( banyak pahala kerana perjalanan jauh )

Pernah suatu ketika Muaz mengerjakan solat Isyak bersama nabi SAW, setelah selesai solat tersebut, beliau terus pulang ke kampungnya dan menjadi  imam kepada mereka. Muaz telah membaca surah al Baqarah ketika menjadi imam. Terdapat seorang makmum telah mufaraqah dari solat jamaah kerana tidak terasa berat untuk terus mengikuti Muaz yang membaca  ayat-ayat yang panjang. 

Perbuatan lelaki tersebut telah ditegur oleh makmum lain dengan bertanyakannya adalah lelaki itu seorang munafik. Pada zaman sahabat mereka yang tidak menghadiri solat jamaah kebiasaannya seorang munafiq. Ibnu Majah meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, beliau berkata

وَلَقَدْ رَأَيْتُنَا وَمَا يَتَخَلَّفُ عَنْهَا إِلَّا مُنَافِقٌ مَعْلُومُ النِّفَاقِ، وَلَقَدْ رَأَيْتُ الرَّجُلَ يُهَادَى بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ حَتَّى يَدْخُلَ فِي الصَّفِّ
Sesungguhnya kami berpendapat tidaklah meninggalkan solat jamaah melainkan mereka yang termaklum ianya seorang munafiq. Aku pernah melihat seorang lelaki dipapah dan dimasukkan dalam sof.

Lelaki  tersebut menjelaskan dia berbuat demikian bukan kerana ia bukan seorang munafiq tetapi terasa sukar untuk mengikut imam yang membaca ayat-ayat yang panjang. Beliau telah mengadu kepada nabi SAW hal tersebut. Nabi SAW telah memarahi Muaz kerana menyebabkan makmum terasa sukar untuk mengerjakan solat berjamaah . Muaz telah diarah agar membaca ayat yang lebih pendek.

Para imam ketika mengerjakan solat jamaah hendaklah meraikan kemampuan makmum di belakangnya agar mereka tidak liar dari solat berjamaah.
Berkenaan hal ini Sayyidina Umar menegaskan

لَا تُبَغِّضُوا إِلَى اللَّهِ عِبَادَهُ يَكُونُ أَحَدُكُمْ إِمَامًا فَيُطَوِّلُ عَلَى الْقَوْمِ الصَّلَاةَ حَتَّى يُبَغِّضَ إِلَيْهِمْ مَا هُمْ فِيهِ

Janganlah kamu menjadikan manusia benci untuk beribadah kepada Allah. Iaitu salah seorang dari kamu menjadi imam kemudian memanjangkan bacaan sehingga menyebabkan makmum tidak gemar melakukan solat jamaah.

Riwayat al Baihaqi

PENGAJARAN HADIS

1-Kesungguhan para sahabat melaksanakan solat jamaah.
2-Imam hendaklah meraikan makmum .
3-Orang solat fardu sah mengikut imam yang mengerjakan solat sunat.
4-Boleh mufaraqah solat jamaah jika ada keperluan.
5-Perkara yang boleh meliarkan manusia dari agama hendaklah dihindarkan.
6-Merujuk kepada guru apabila timbul kemusykilan.
7-Ibadah yang diakui ialah yang menepati apa yang diajar oleh nabi SAW.

Wallahua’lam

::: Pusat Talaqqi Batu Rakit :::

::: fb.com/PTBR.Official :::

Rabu, 9 November 2016

ILMU

4:04 PTG Posted by Unknown No comments

PERINGATAN UNTUK DIRI SENDIRI DAN UNTUK SAHABAT-SAHABAT SEMUA

PENDAHULUAN

• Menuntut Ilmu Adalah Ibadah Yang Amat Dituntut Oleh Islam. Ummat Islam Diwajibkan Menuntut Yang Boleh Menjadikan Mereka Dapat Melaksanakan Kewajipan Mereka Dan Menjauhkan Mereka Dari Perkara Yang Dilarang.

• Untuk Menjadikan Menuntut Ilmu Benar-benar Menepati Islam, Adab-adabnya Hendaklah Dipelihara. Jesteru Itu, Para Ulamak Telah Menulis Berkenaan Adab Menuntut Ilmu Dalam Karya Masing-masing. Di Antara Kitab Yang Dijadikan Rujukan Ialah Kitab Ihya’ Dan Kitab Ta’lim Al Muta’llim.

Adab Guru Dan Penuntut Ilmu

1-Membersihkan Diri Dari Segala Sifat Mazmumah Seperti Dengki, Dendam, Riya’, Ujub Dan Suma’ah.
Benda Suci Yang Dimasukkan
Ke Dalam Bekas Yang Kotor, Mengakibatkan Benda Suci Bertukar Menjadi Kotor.

• 2-Memberi Perhatian Kepada Apa Yang Sedang Diajar.
• إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَى لِمَن كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ

3- Tidak Meremeh-remehkan Ilmu Yang Diajar Dan Tidak Berusaha Untuk Tuan Kepada Ilmu.Bahkan tunduk kepada ilmu yang diajar walaupun ianya bercanggah dengan nafsu sendiri.

• 4- Tidak Melibatkan Diri Dalam Perkara Khilaf Sebelum Perkara Asas Difahami.

• 5- Setiap Ilmu Yang Dipelajari, Dipelajari Secara Mendalam.

6- Mempelajari Ilmu Menurut Turutan.

• 7- Tujuan Utama Menuntut Ilmu Adalah Mencari Reda Allah.

GURU MURSYID

• Guru Mursyid Ialah Guru Yang Mampu Menerang, Menunjuk, Memberi Ilham Dan Menjadi Contoh  Kepada Kebenaran. Guru Mursyid mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

CIRI-CIRI GURU MURSYID

1-Alim
2-Warak
3-Berpengalaman

TANGGUNGJAWAB GURU MURSYID

• 1-Menganggap Para Penuntut Ilmu Sebagai Anaknya.
Aku Adalah Seperti
Bapa Kamu.

• 2-Mengajar Bertujuan Mencari Reda Allah

• 3-Sentiasa Memberi Nasihat Kepada Penuntut Ilmu.

• 4-Mencegah Akhlak Keji Dari Penuntut Ilmu Dengan Hikmah

• 5-Tidak Merendah-rendahkan Guru Lain Dan Ilmu Yang Diajarnya.

• 6-Mengajar Menurut Tahap Kefahaman Penuntut Ilmu.

• 7-Beramal Dengan Apa Yang Diajar

SOALJAWAB AGAMA

Salah satu cara mengajar ialah melalui soaljawab agama. Guru dan pelajar mesti beramal dengan adab-adab bertanya.

Jawapan adalah amanah ilmu. Guru jangan malu menangguhkan jawapan yang dia kurang pasti kesohihan.

Guru hendaklah sentiasa hadis riwayat al Darimi walaupun lemah sanadnya tetapi maknanya adalah sohih:

أَجْرَؤُكُمْ عَلَى الْفُتْيَا، أَجْرَؤُكُمْ عَلَى النَّارِ

Orang yang paling berani memberi fatwa adalah orang yang paling berani masuk neraka.

Imam Malik sendiri pernah diajukan 48 soalan, tidak dijawabnya melainkan 16 soalan sahaja. Manakala 32 soalan lagi Imam Malik berkata aku tidak tahu.
Dalam riwayat yang lain dinyatakan:

Aku pernah datang menemui Imam Malik dan mengemukakan 40 soalan, beliau tidak melainkan 5 soalan sahaja.

Guru hanya bertugas menyampai Ilmu bagi pihak lain. Guru wajib memastikan jawapan menepati yang sebenar. Untuk itu, guru perlu merujuk kepada sumber muktabar. Jika tidak , dia terdedah kepada murka Allah:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

[36]
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

JAWAPAN SEGERA ATAU SEBALIKNYA

Guru tidak wajib segera menjawab soalan yang dikemukakan melainkan soalan tersebut berkaitan fardu ain kepada orang yang bertanya yang wajib disegerakan. Selain dari keadaan tersebut, guru tidak wajib segera menjawab soalan. Pelajar yang mendesak gurunya segera menjawab soalan  sedangkan soalan  tersebut tidak wajib disegerakan, adalah pelajar yang  tidak mematuhi adab menuntut ilmu.

RENUNGAN

Berikut ayat-ayat yang berkaitan kisah guru dan pelajar.

وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّى أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا (60) فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا (61) فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا (62) قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا (63) قَالَ ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا (64) فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا (65)

قَالَ لَهُ مُوسَى هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَنْ تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا (66) قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا (67) وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا (68) قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا (69) قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَنْ شَيْءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا (70)

فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ خَرَقَهَا قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا (71) قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا (72) قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا (73)

فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا لَقِيَا غُلَامًا فَقَتَلَهُ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُكْرًا (74) قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا (75) قَالَ إِنْ سَأَلْتُكَ عَنْ شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي قَدْ بَلَغْتَ مِنْ لَدُنِّي عُذْرًا (76)

فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا (77) قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا (78)

[60]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun".
[61]
Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.
[62]
Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: "Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini".
[63]
Temannya berkata: "Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan".
[64]
Nabi Musa berkata: "Itulah yang kita kehendaki "; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.
[65]
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.
[66]
Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"
[67]
Ia menjawab: "Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.
[68]
Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?
[69]
Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu".
[70]
Ia menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu".
[71]
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar".
[72]
Ia menjawab: "Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"
[73]
Nabi Musa berkata: "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)".
[74]
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!"
[75]
Ia menjawab: "Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"
[76]
Nabi Musa berkata: "Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku".
[77]

Firman Allah menceritakan bahawa mereka yang memperolehi ilmu ialah mereka memberi tumpuan dan mempunyai daya pemikiran yang bagus.

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَى لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ (37)

[37]
Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.

MAJLIS ILMU HENDAKLAH DIHORMATI

Firman Allah :

إِنِّي أَنَا رَبُّكَ فَاخْلَعْ نَعْلَيْكَ إِنَّكَ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طُوًى (12) وَأَنَا اخْتَرْتُكَ فَاسْتَمِعْ لِمَا يُوحَى (13)

[12]
"Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci.
[13]
"Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.
[14]

Wallahua’lam

أخوكم في الاسلام
أحمد ترمذي طه
المحاضر بكلية السلطان زين العابدين
ورئيس مركز التلقي بباتو ركيت

PENJELASAN HADIS LARANGAN DUDUK PADA TANGAN KIRI

4:00 PTG Posted by Unknown No comments

PENJELASAN HADIS LARANGAN DUDUK PADA TANGAN KIRI

Abu Dawud meriwayatkan

عَنْ أَبِيهِ الشَّرِيدِ بْنِ سُوَيْدٍ قَالَ مَرَّ بِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَنَا جَالِسٌ هَكَذَا وَقَدْ وَضَعْتُ يَدِىَ الْيُسْرَى خَلْفَ ظَهْرِى وَاتَّكَأْتُ عَلَى أَلْيَةِ يَدِى فَقَالَ « أَتَقْعُدُ قِعْدَةَ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ ».
Syirrid bin Suwaid radhiyallahu ‘anhu berkata, “Rasulullah pernah melintas di hadapanku sedang aku duduk seperti ini, yaitu bersandar pada tangan kiriku yang aku letakkan di belakang. Lalu baginda Nabi bersabda, “Adakah engkau duduk sebagaimana duduknya orang-orang yang dimurkai?”

HURAIAN

Hadis di atas menjelaskan baginda melarang duduk seperti orang yang dibenci oleh Allah SWT.

Larangan tersebut adalah larangan makruh.Abu Dawud meletakkan hadis di atas di bawah tajuk

بَابٌ فِي الْجِلْسَةِ الْمَكْرُوهَةِ
Bab Berkenaan Duduk Yang Dibenci.

Terdapat dua hadis yang berkaitan larangan duduk bersandar pada tangan kiri yang  diletakkan di belakang.  Satu hadis larangan duduk bersandar pada tangan kiri yang  diletakkan di belakang di luar solat dan satu hadis berkaitan larangan duduk bersandar pada tangan kiri di dalam solat. Hadis di dalam solat juga diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada Ibnu Umar berbunyi:

أَنَّهُ رَأَى رَجُلًا يَتَّكِئُ عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى وَهُوَ قَاعِدٌ فِي الصَّلَاةِ - قَالَ هَارُونُ بْنُ زَيْدٍ، سَاقِطًا عَلَى شِقِّهِ الْأَيْسَرِ، فَقَالَ لَهُ: «لَا تَجْلِسْ هَكَذَا، فَإِنَّ هَكَذَا يَجْلِسُ الَّذِينَ يُعَذَّبُونَ

Bahawa Ibnu Umar melihat seorang lelaki bersandar berkaitan larangan duduk bersandar pada tangan kiri di dalam solat –menurut Harun iaitu perawi hadis, senget badan ke sebelah kirinya   lalu Ibnu Umar berkata janganlah engkau duduk begini kerana sesungguhnya beginilah cara duduk orang yang akan diazab.

Abu Dawud meletakkan hadis ini di bawah tajuk:
بَابُ كَرَاهِيَةِ الِاعْتِمَادِ عَلَى الْيَدِ فِي الصَّلَاةِ

Bab pada menyatakan larangan bersandar pada tangan ketika solat.

Ada dua kemungkinan di sini iaitu hadis yang kedua menjelaskan hadis yang pertama iaitu larangan duduk bersandar pada tangan kiri ialah ketika mengerjakan solat bukannya di luar solat. Di luar solat ianya dibolehkan.

Kemungkinan yang kedua ialah larangan duduk bersandar pada tangan kiri adalah ketika solat atau di luar solat.

Apa yang zahirnya larangan tersebut merangkumi dalam dan luar solat.

Ada yang berpandangan jika bersandar pada tangan kanan adalah dibolehkan.

Apakah sebab larangan tersebut? Sebabnya ialah cara duduk tersebut cara duduk orang yang dimurkai oleh Allah.

Dapat difahami dari kenyataan tersebut, setiap cara duduk khas bagi  mereka yang dimurkai Allah adalah dilarang.

Berkaitan cara duduk Imam Nawawi menyatakan di dalam kitab Majmuk:

يَجُوزُ الْقُعُودُ مُتَرَبِّعًا وَمُفْتَرِشًا وَمُتَوَرِّكًا وَمُحْتَبِيًا وَالْقُرْفُصَاءَ وَالِاسْتِلْقَاءُ عَلَى الْقَفَا وَمَدُّ الرِّجْلِ وَغَيْرُ ذَلِكَ مِنْ هَيْئَاتِ الْقُعُودِ وَنَحْوِهَا ولا كراهة في شئ مِنْ ذَلِكَ إذَا لَمْ يَكْشِفْ عَوْرَتَهُ وَلَمْ يَمُدَّ رِجْلَهُ بِحَضْرَةِ النَّاسِ وَقَدْ تَظَاهَرَتْ الْأَحَادِيثُ الصَّحِيحَةُ عَلَى ذَلِكَ

Harus duduk bersila, duduk iftirasy, duduk tawarruk ( duduk tahiyyat akhir ) , duduk sambil memeluk dudu lutut, duduk dengan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, telentang di atas belakang, duduk dengan menghulur kaki ke hadapan  dan lain-lain cara duduk selagi tidak menampakkan aurat dan tidak menghalakan kaki ( menghulurkan kaki ) ke arah orangramai.

Wallahua’lam

PUSAT TALAQQI BATU RAKIT

Isnin, 7 November 2016

AHLI IBADAH YANG RUGI

2:13 PTG Posted by Unknown No comments

AHLI IBADAH YANG RUGI 

Nabi SAW menjelaskan adanya insan yang beribadah dan ibadahnya diterima oleh Allah,namun begitu dia telah  melakukan kesalahan kepada manusia lain dan tidak mendapat kemaafan mereka. Pada hari akhirat kelak pahala amalannya akan diambil oleh si mangsa . Manusia tersebut dinamakan muflis.  Muslim  meriwayatkan:
أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ، فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ، وَصِيَامٍ، وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Adakah kamu tahu siapakah si muflis yang sebenarnya? Para sahabat menjawab , orang muflis yang sebenarnya dalam kalangan kami  ialah  mereka yang tidak memiliki dirham dan harta benda.
Nabi bersabda, sesungguhnya orang muflis yang sebenarnya dalam kalangan ummatku pada hari kiamat kelak ialah mereka yang datang membawa pahala solat, pahala puasa, pahala zakat. Dia datang membawa pahala tersebut, tetapi dalam masa yang sama dia telah mempersendakan saudaranya, menuduh saudaranya, memakan harta saudaranya, menumpahkan darah saudaranya dan memukul saudaranya.

Lalu diambil kebaikannya dan diberi kepada setiap si mangsa, jika kebaikannya telah habis diambil sedangkan dosanya dengan manusia lain belum ditebus , dosa kesalahan saudaranya akan dicampak ke atasnya kemudian dia dihumban ke dalam neraka.

Hadis di atas dengan jelas menyatakan orang muflis tersebut, ibadahnya diterima dan mendapat ganjaran pahala. Tetapi ganjaran pahala tersebut ditarik balik darinya dan diberi kepada orang yang dizaliminya menyebabkan dia dihumban ke dalam neraka sebelum dibawa kembali ke syurga.

al Bukhori meriwayatkan:

قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، يَوْمًا لِأَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فِيمَ تَرَوْنَ  هَذِهِ الآيَةَ نَزَلَتْ: {أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَنْ تَكُونَ لَهُ جَنَّةٌ} ؟ قَالُوا: اللَّهُ أَعْلَمُ، فَغَضِبَ عُمَرُ فَقَالَ: «قُولُوا نَعْلَمُ أَوْ لاَ نَعْلَمُ»، فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: فِي نَفْسِي مِنْهَا شَيْءٌ يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، قَالَ عُمَرُ: «يَا ابْنَ أَخِي قُلْ وَلاَ تَحْقِرْ نَفْسَكَ»، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: ضُرِبَتْ مَثَلًا لِعَمَلٍ، قَالَ عُمَرُ: «أَيُّ عَمَلٍ؟» قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: لِعَمَلٍ، قَالَ عُمَرُ: «لِرَجُلٍ غَنِيٍّ يَعْمَلُ بِطَاعَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، ثُمَّ بَعَثَ اللَّهُ لَهُ الشَّيْطَانَ، فَعَمِلَ بِالْمَعَاصِي حَتَّى أَغْرَقَ أَعْمَالَهُ»

Pada suatu hari Sayyidina Umar  berkata  kepada sahabatnya pada pendapat kamu , ayat berikut turun berkenaan apa? Iaitu :

أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَنْ تَكُونَ لَهُ جَنَّةٌ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ لَهُ فِيهَا مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ وَأَصَابَهُ الْكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفَاءُ فَأَصَابَهَا إِعْصَارٌ فِيهِ نَارٌ فَاحْتَرَقَتْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ (266)


Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).

Sahabat-sahabat beliau berkata, wallahua’lam. Lalu Sayyidina marah seraya berkata katakanlah kami tahu atau kami tidak tahu. Ibnu Abbas berkata, aku ada pandangan berkenaan ayat tersebut wahai Amirul Mukminin. Sayyidina Umar berkata wahai anak saudaraku, cakaplah dan jangan memandang rendah kepada dirimu. Ibnu Abbas berkata ayat di atas adalah perumpamaan bagai satu amalan. Umar berkata amalan apa? Ibnu Abbas berkenaan amalanlah. Umar berkata ayat di atas adalah perumpamaan  amalan seorang lelaki kaya yang mentaati Allah kemudian Allah utuskan kepadanya syaitan, lalu dia mengerjakan kemaksiatan sehingga menenggelamkan amalan solehnya.

Semoga Allah tidak jadikan kita manusia yang muflis.

Wallahua’lam

::: Pusat Talaqqi Batu Rakit :::

::: fb.com/PTBR.Official :::

SIFAT MELAMPAU BUKAN SIFAT PEJUANG

7:37 PG Posted by Unknown No comments

SIFAT MELAMPAU BUKAN SIFAT PEJUANG

Sifat melampau dibenci oleh Islam sama ada melampau dalam perkara dunia atau perkara agama.

Melampau dalam makan minum dan melampau dalam menyayangi harta adalah contoh melampau dalam perkara dunia.

Manakala melampau dalam perkara agama pula seperti beribadah   bersungguh-sungguh sehingga mengabaikan tanggungjawab pihak lain.

Berkenaan sikap melampau, Allah menceritakan tentang butiran doa para pendakwah rabbani:

وَما كانَ قَوْلَهُمْ إِلاَّ أَنْ قالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنا ذُنُوبَنا وَإِسْرافَنا فِي أَمْرِنا وَثَبِّتْ أَقْدامَنا وَانْصُرْنا عَلَى الْقَوْمِ الْكافِرِينَ (١٤٧)

Mereka tidak berdoa melainkan  mereka berdoa wahai tuhan kami ampunilah dosa kami dan sikap melampau kami dalam urusan  kami dan teguhkan pendirian kami serta bantulah kami  dalam menghadapi kaum kafir.

Sayyid Qutb menjelaskan ayat di atas menerangkan para pejuang rabbani sentiasa berdoa agar diampun dosa dan dijauhi dari sikap melampau ketika mereka berjuang menegakkan agama Allah. Mereka tidak memohon kekayaan sebaliknya mereka memohon keampunan.

Ini menunjukkan para pejuang berhati-hati dalam perjuangan agar tidak menjadi sia-sia akibat sikap melampau.

Nabi  SAW  juga sentiasa berdoa agar dilindungi dari sifat melampau. al Bukhori meriwayatkan:

رَبِّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي وَجَهْلِي، وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي كُلِّهِ،

Ya Tuhanku ampunilah daku  kesalahanku, kejahilanku dan sikap melampauku dalam semua semua urusanku.

Nabi SAW maksum dari kesilapan, doa tersebut adalah bertujuan mengajar ummat baginda agar sentiasa bersikap menjauhi sikap melampau dalam setiap gerakgerinya.

Adalah melampau jika mereka yang mencuri dituduhnya berzina. Adalah melampau meminta  penjelasan dianggap penentang.

Semoga kita tidak menjadi manusia muflis di akhirat kelak disebabkan sikap melampau.

Pada zaman nabi SAW terdapat seorang sahabat membunuh musuh di medan perang sedangkan musuh telah mengucap syahadah di depannya. Sahabat tersebut menyatakan  musuh tersebut mengucap kerana takutkan senjatanya bukan kerana ikhlas.

Nabi menegurnya dengan berkata:

أَفَلَا شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ حَتَّى تَعْلَمَ أَقَالَهَا أَمْ لَا؟

Adakah kamu membelah dadanya sehingga kamu tahu adakah dia ikhlas atau tidak?

Semoga Allah jauhi kita dari sifat-sifat buruk sepanjang masa.

Semoga kita kembali kepadaNya menjadi orang yang beruntung bukannya orang muflis.

Wallahua'lam.